Saturday 5 October 2013

Fungsi Wayar Bumi Pada Lampu Kalimantang



Fungsi Wayar Bumi Pada Lampu Kalimantan


Soalan

Lampu kalimantang hanya memerlukan 2 wayar sahaja untuk menyala iaitu wayar hidup (live) dan wayar neutral. Tetapi saya selalu tertanya-tanya apakah fungsi wayar bumi (earth) yang berwarna hijau pada pendawaian lampu kalimantang. Saya selalu lihat wireman pasang wayar bumi pada mana-mana skru dalam lampu kalimantang ataupun hanya selitkan sahaja pada badan lampu. 



Jawapan

Pemasangan wayar bumi dalam lampu kalimantang adalah untuk keselamatan. 

Dalam pemasangan lampu kalimantang, ada kemungkinan wayar akan terputus atau penebat wayar tertanggal dan menyentuh badan lampu kalimantang. Badan lampu kalimantang biasanya diperbuat daripada besi. Jadi, apabila suis dihidupkan, badan lampu kalimantang akan menjadi 'live'. Apabila seseorang pegang badan lampu kalimantang pada ketika ini, dia akan terkena renjatan elektrik. 

Selain dari kemungkinan wayar terputus atau kerosakan penebat wayar, choke atau ballast dalam lampu kalimantang juga boleh menyebabkan badan lampu kalimantang menjadi 'live'. Ini boleh berlaku apabila penebat lilitan wayar dalam choke pecah, badan choke tersebut akan menjadi 'live'.Oleh kerana choke dipasang pada badan lampu kalimantang, ia juga akan menjadi 'live' dan orang yang memegang lampu kalimantang semasa suis dihidupkan akan terkene renjatan elektrik. 

Sekiranya wayar bumi dipasang, apabila badan lampu kalimantang menjadi 'live' kerana kerosakan penebat wayar atau kerosakan choke, arus elektrik akan mengalir melalui wayar bumi dan ini akan menyebabkan RCCB trip. Apabila RCCB trip, ini menunjukkan lampu kalimantang itu tidak selamat dan tindakan pembaikan perlu dilakukan. 


sumber: zon152.blogspot

Bunyi Bergetar Pada Lampu Kalimantang





Sekiranya lampu kalimantang di dalam bilik atau tandas rumah anda berbunyi bergetar apabila dihidupkan, jangan risau. Itu adalah perkara biasa dan tidak mendatangkan apa2 mudarat.

Bunyi itu berpunca daripada choke/ballast yang kurang berkualiti yang terdapat dalam lampu tersebut. Sekiranya anda berasa terganggu, anda boleh menggantikan choke tersebut dengan yang baru.

Pastikan suis utama pada papan agihan telah ditutup, buka casing lampu tersebut dan anda akan mendapati satu komponen seperti gambarah di sebelah ini. Tanggalkan wayar dan skru yang dipasang pada choke tersebut dan gantikan ia dengan yang baru. Pastikan choke baru itu mempunyai cop Sirim.




sumber: zon152.blogspot

Friday 20 September 2013

KAEDAH PEMASANGAN CCTV

 Spesifikasi bagi system CCTV untuk pemasangan CCTV di rumah kediaman atau ruang pejabat adalah mencakupi seperti berikut :
i.            1 unit DVR (4-channel/ 1 BNC output/ 1 VGA output / 1 network port) model
ii.          Hard Disk SATA (80Gb)
iii.        4 biji kamera Dome
    iv.    Monitor - boleh guna monitor komputer 


Rajah asas pemasangan CCTV 
(Set router adalah aksesori tambahan bagi mengawal DVR melalui internet)

 1. Tentukan kabel yang sesuai

Kabel CCTV yang digunakan adalah jenis  coaxial cable RG59/6 series. Ini merupakan kabel standard yang sering digunakan untuk penyambungan antara kamera CCTV dan DVR. 

Manakala penyambung yang digunakan adalah jenis BNC connector. Ia menyambungkan antara panel video pada DVR dan kamera jenis Dome.





2. Tentukan lokasi dan area pantauan CCTV

Lokasi pemasangan CCTV ditentukan berdasarkan jarak pandangan yang hendak dikawal samada jauh atau dekat dan apakah untuk keadaan gelap atau terang. Penetapan lokasi amat penting bagi mendapatkan titik fokus kawasan yang hendak di kawal.

3. Penetapan Kedudukan kamera CCTV

Terutama untuk pemasangan CCTV di rumah, perletakkan sudut kamera CCTV di bawah tempat berbumbung boleh melindungi kamera CCTV anda dari hujan, angin, dan sebagainya. Selain itu, penempatan di bawah bumbung juga biasanya memberikan paparan yang lebih baik dan mudah untuk menarik kabel jaringan. 

Jenis kamera adalah Dome infrared digunakan. Ia boleh menghasilkan gambar yang terang walau pun pada waktu malam atau dalam suasana yang gelap.


Kabel video dan bekalan kuasa di sambung secara berasingan di mana bekalan kuasa menggunakan palam 3-pin yang di sambung ke soket alir keluar 13A.

4. Proses Menarik Kabel (Lay-out cabel)

Setelah menentukan titik pemasangan CCTV, berikutnya adalah mencari titik masuk untuk menarik kabel RG59/6 dari luar ke dalam melalui atas siling atau laluan conduit dan sebagainya. Pada kebiasaannya pada ruang pejabat lebih praktikal menarik kabel dilakukan melalui atas siling. Ia nampak lebih kemas dan tersusun

DVR yang digunakan mempunyai panel untuk bekalan kuasa secara berasingan. Oleh itu kabel untuk bekalan kuasa kamera CCTV perlu disambungkan kepada punca bekalan yang terhampir dengan lokasi kamera tersebut.

5. Penempatan Monitor dan DVR

Monitor dan DVR adalah peralatan  yang melengkapi sistem CCTV anda. Tentukan tempat dimana monitor dan DVR akan diletakkan secara bersebelahan bagi memudahkan proses ‘setting’ (biasanya pengguna akan merujuk kepada buku manual yang disediakan oleh pihak pembekal DVR). Untuk keselamatan ada baiknya set DVR diletakkan secara tersembunyi terutama di rumah kediaman bagi mengelakkan penceroboh merosakkan atau mengambil set DVR.



6. Lay-out kabel & 'Setting'

Setelah mendapatkan posisi perletakkan kamera CCTV dan lokasi penempatan monitor serta DVR, maka berikutnya adalah proses terakhir iaitu menarik kabel RG59 yang menghubungkan antara CCTV dengan monitor dan DVR. Maka lengkaplah proses pemasangan set CCTV di rumah kediaman atau di bangunan pejabat. Setelah set CCTV selesai di pasang dan boleh disambung bekalan kuasa, maka proses 'setting' DVR merujuk kepada manual yang disertakan dapat dilakukan.


Sambungan kabel kamera, monitor dan mouse untuk proses 'setting' DVR 


Sambungan semua komponen yang telah lengkap di mana monitor memaparkan imej yang telah dirakam oleh  kamera CCTV

Pengenalan CCTV

Pengenalan CCTV (Closed-Circuit Television)

Closed-circuit television (CCTV) adalah kamera yang merakam imej video dan menghantar isyarat video komposit tempat-tempat tertentu. CCTV sering digunakan untuk tujuan pengawasan yang biasa terdapat di bank, lapangan terbang, bangunan-bangunan malah sekarang ini juga digunakan di rumah-rumah.

CCTV pertama telah dipasang oleh syarikat Jerman Siemens AG pada Test Stand VII di Peenemünde, Jerman pada tahun 1942, digunakan untuk memerhati perlancaran roket V-2. 

Kelengkapan Sistem CCTV

Kelengkapan utama dalam sistem pengoperasian CCTV adalah seperti berikut:


1)  Kamera

Kamera CCTV berfungsi sebagai alat perakam imej bergerak (video) dan menukarkannya kepada isyarat video komposit. Terdapat beberapa jenis kamera yang berbeza dari segi kualiti, penggunaan dan fungsi-fungsinya. Setiap kamera akan disambungkan ke Digital Video Recorder (DVR) secara langsung.

Terdapat pelbagai jenis kamera yang dijual dipasaran antaranya ialah  :
i.  Dome Camera
ii. Waterproof Camera
iii.Infra Red Camera
iv. IP Camera
v. Stabdard Box Camera dan banyak lagi dipasaran



2) Digital Video Recorder (DVR)

DVR adalah sistem yang digunakan oleh CCTV untuk merakam video dalam bentuk digital. Bagi menyimpan data atau maklumat yang dirakam, DVR hendaklah disertakan dengan hard disk dengan kapasiti  yang besar sekurang-kurangnya 80Gb.

Pada masa kini terdapat pelbagai lagi jenis sistem CCTV hasil daripada penyelidikan dan kemajuan berterusan. Antaranya seperti kepelbagaian DVR yang boleh disambungkan ke talian internet, sistem pemantauan berkomputer dan yang menjadi perhatian masa kini adalah IP Camera

Sistem IP (Internet Protokol) Camera menghantar isyarat video dan audio melalui jaringan tanpa wayar dengan memakai protokol TCP/IP.Menarik sistem ini, ianya boleh dipantau di mana sahaja melalui internet. Ia juga tidak memerlukan DVR. Artikel berkenaan IP Camera akan diterangkan secara terperinci pada catatan akan datang.

DVR 4-Channel

3) Monitor

Monitor digunakan untuk memaparkan imej yang dirakam oleh kamera secara langsung. Paparan imej pada monitor bergantung kepada bilangan port yang digunakan pada DVR. Monitor komputer adalah yang paling popular digunakan kerana harganya yang murah dan mudah dipasang. 

Contoh penyambungan dalam sistem pemasangan CCTV adalah seperti gambarajah di bawah.